Unit Paliatif PPUSMB
Apakah Itu Penjagaan Paliatif (Palliative Care)?
Penjagaan paliatif adalah bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit yang menghidapi penyakit serius yang tidak dapat disembuhkan seperti kanser peringkat akhir (keempat), penyakit jantung, buah pinggang, paru-paru peringkat akhir dan sebagainya. Kami juga membantu memberi rawatan perubatan dan sokongan psikososial,fizikal dan emosi kepada pesakit dan waris pesakit yang berjuang menghadapi penyakit ini.
Sejarah Penubuhan Unit Paliatif PPUSMB
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM memulakan perkhidmatan penjagaan paliatif sejak 2006 sebagai sokongan berterusan kepada perkhidmatan onkologi di hospital kami. Perkhidmatan ini semakin berkembang pada tahun 2022 di bawah Pusat Perubatan USM Bertam
Perkhidmatan kami bermula dengan lawatan jururawat ke rumah pesakit paliatif yang kebanyakannya adalah pesakit kanser peringkat keempat diikuti oleh perkhidmatan klinik paliatif. Pada 2019, perkhidmatan berkembang apabila pihak pengurusan hospital melantik seorang pegawai perubatan paliatif dan juga menempatkan jururawat pos basik paliatif untuk perkhidmatan ini.
Pada tahun 2023, Majlis Kanser Negara (MAKNA) telah menempatkan 3 orang jururawat di PPUSMB untuk perkhidmatan paliatif. Kolaborasi ini memberi sumbangan yang besar kepada kami sekaligus membantu perkembangan perkhidmatan kami.
Jumlah pesakit kami semakin meningkat setiap tahun dengan bilangan 92 pesakit pada 2023 kepada 159 pesakit pada 2024 serta jumlah lawatan ke rumah dan rawatan di klinik pada 2023 ialah 343 dan pada 2024 sebanyak 485. Perkembangan perkhidmatan kami selaras dengan pertambahan perkhidmatan rawatan onkologi di PPUSMB agar kami dapat memberikan rawatan yang terbaik dan holistik terumatanya kepada pesakit kanser peringkat keempat.
Sehingga hari ini, staff yang terlibat dalam Unit Paliatif kami terdiri daripada seorang pakar perubatan dalaman, seorang pegawai perubatan, 2 orang jururawat PPUSMB, 3 orang jururawat MAKNA dan seorang pembantu perawatan kesihatan (PPK)/pemandu.
Perkhidmatan Unit Paliatif PPUSMB
Perkhidmatan kami kepada pesakit paliatif terdiri daripada :
- Klinik paliatif
- Lawatan staff paliatif ke rumah pesakit
- Rawatan di dalam wad (in-patient care) dan di wad kecemasan
- Panggilan telefon hot-line Unit Paliatif PPUSMB (office hour sahaja)
- Konsultasi dalam talian (tele-consultation)
- Sesi kaunselling bersama pesakit paliatif dan keluarga.
- Program-program kemasyarakatan berbentuk public education berkenaan penjagaan paliatif di komuniti dan program latihan untuk sukarelawan dalam penjagaan paliatif di komuniti
Kami aktif menjalankan program-program kemasyarakatan berbentuk public education berkenaan penjagaan paliatif di komuniti sejak tahun 2022 sehingga kini. Bermula pada tahun 2024, kami mula mengadakan program latihan untuk sukarelawan dalam penjagaan paliatif di komuniti. Kami juga turut serta bersama semua unit paliatif di seluruh P.Pinang menganjurkan program sambutan peringkat kebangsaan untuk World Hospice & Palliative Care Day (WHPCD) 2024 yang telah berlangsung pada 12 Oktober 2024 di Padang Polo, P.Pinang
Kami turut menjalankan kolaborasi bersama perkhidmatan paliatif lain di negeri P.Pinang iaitu daripada Hospital P.Pinang, Hospital Bukit Mertajam, Penang Hospice Society, Pure Lotus Hospice dan Charis Hospis. Perkhidmatan Paliatif di P.Pinang diperkemaskan lagi dengan penubuhan Persatuan Kerjasama Paliatif P.Pinang (PKP3) pada 2023.
Penubuhan Pertubuhan Paliatif USM dan Peranannya
Pada tahun 2022, kami telah menubuhkan satu non-governmental organization (NGO) di bawah USM iaitu Pertubuhan Paliatif USM yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Pertubuhan ini bertujuan untuk mencari dana bagi projek pembinaan Bangunan Paliatif Kepala Batas yang bertujuan memberikan rawatan pesakit dalam (in-patient care) yang lebih mesra kepada pesakit paliatif dan ahli keluarga agar mendapatkan rawatan yang terbaik. Usaha-usaha pengumpulan dana ini masih aktif dijalankan sehingga kini.
Penglibatan Unit Paliatif PPUSMB ini adalah selaras dengan SDG 3,11 & 17 iaitu perkhidmatan kesihatan yang cemerlang, pembentukan masyarakat yang mampan dan kerjasama antara pelbagai pihak, hospital dan NGOs untuk memberikan perkhidmatan paliatif yang terbaik kepada pesakit dan ahli keluarga mereka.