Skip to main content

Unit Perubatan Integratif

Perubatan Integratif merupakan satu bidang perubatan yang menggabungkan kaedah perubatan tradisional dan perubatan moden untuk merawat pesakit. Klinik ini ditubuhkan bagi mengintegrasi rawatan ‘evidence-based’ ke dalam perubatan moden. Keutamaan klinik ini adalah untuk memperkasakan perubatan melayu dan mengaplikasikannya ke dalam perubatan moden.

Unit ini bermula sebagai sebuah Klinik Perubatan Integratif di IPPT USM, mula beroperasi pada tahun 2013 dan pada awalnya menyediakan perkhidmatan kaunseling kesihatan kepada pesakit diabetes dan pesakit dengan penyakit kronik lain yang memerlukan penggunaan herba dan nasihat pemakanan. Pada waktu itu, klinik ini diketuai oleh dua doktor perubatan yang mempunyai PhD dalam perubatan herba dan epigenetic masing-masing.

Kemudian pada awal tahun 2014, Perubatan Melayu tradisional telah diperkenalkan ke dalam perkhidmatan perubatan integratif. Matlamatnya ketika itu adalah untuk mengintegrasikan rawatan tradisional ke dalam perubatan moden untuk membantu pesakit strok dan pesakit muskuloskeletal kronik. Pendekatan tersebut bertujuan membantu pesakit mengurangkan penggunaan ubat-ubatan tahan sakit dan kesan sampingannya serta meningkatkan mobiliti pesakit strok.

Pada Januari tahun 2022, klinik telah naik taraf kepada sebuah unit dan telah terdapat seramai 3 orang doktor perubatan dan 5 pengamal terlatih yang terdiri daripada dua pembantu perubatan, jururawat rehabilitasi dan juruteknologi perubatan yang menjalankan perkhidmatan di klinik setiap minggu pada hari-hari yang ditetapkan dari jam 8.10 pagi hingga 5.00 petang.

Melalui penyelidikan berterusan yang dijalankan di IPPT dan USM amnya, rawatan yang ditawarkan ini mampu untuk digandingkan bersama-sama rawatan moden. Dengan peningkatan jumlah pesakit setiap tahun menjalankan penyelidikan saintifik mengenai rawatan tradisional Melayu adalah peluang yang sangat besar. Terdapat 2 pensyarah di USM telah berjaya memperoleh geran Kementerian Pelajaran Tinggi (FRGS) dalam bidang Perubatan Melayu.

Pada masa ini, hanya 3 komponen rawatan utama ditawarkan iaitu rawatan urut Melayu Tradisional (urutan jenis terapeutik bukan urutan kesihatan), bekam, kaunseling herba, dan senaman tradisional Melayu diterapkan dalam pengurusan pesakit. Pada masa terdekat ini, adalah diharapkan rawatan lain seperti akupunktur dan urutan tradisional Melayu selepas bersalin dapat diintegrasi ke dalam perkhidmatan ini.

Selain perkhidmatan klinikal, klinik ini juga telah menerima penempatan latihan daripada pelajar tahun akhir mahasiswa Farmasi Klinikal dari Universiti Sains Malaysia untuk modul Perubatan Tradisional & Komplementari dan latihan industri dari Institut Kesihatan As-syiffa Kisaran dari Medan Indonesia.

Visi

Unit Perubatan Integratif beraspirasi menjadi pemberi perkhidmatan perubatan integratif ke arah kelestarian dan kualiti kesihatan masyarakat menjelang 2027.

Misi

Unit Perubatan Integratif memfokuskan kepada integrasi perubatan tradisional dan komplimentari ke dalam sistem perubatan moden bagi menyediakan penjagaan kesihatan yang holistik.

Objektif

  1. Menyediakan perkhidmatan perubatan integratif yang berkualiti dalam persekitaran kondusif.
  2. Menjalankan penyelidikan dalam bidang perubatan tradisional dan komplementari yang memberi manfaat dan kualiti sistem penjagaan kesihatan.
  3. Memberi latihan dan pendidikan kepada masyarakat dan para pelajar.

Perkhidmatan Urut Melayu

Gambar 1: Seorang pengamal urut melayu sedang merawat pesakit

Urut melayu diperkenalkan di klinik perubatan integratif sejak awal tahun 2014. Rawatan yang menggunakan kaedah urutan tradisional ini mengfokuskan bagi mengurangkan kesakitan ‘pain-relieve’ kepada pesakit yang menghadapi sakit yang kronik.Terdapat 4 pengamal urutan yang terlatih terdiri daripada jururawat terlatih wanta, dua penolong pegawai perubatan lelaki, dan juruteknik perubatan lelaki yang memberi perkhidmatan urut melayu. Fasiliti yang disediakan termasuk bilik urut lelaki dan wanita yang berasingan bagi menjaga privasi pesakit yang menerima rawatan di unit ini.

Gambar 2: Bilik urut khas lelaki

Gambar 3: Bilik urut khas Wanita berasingan

Perkhidmatan Bekam

Gambar 3: Rawatan bekam yang diberikan kepada pesakit.

Bekam ataupun ‘cupping’, samada kering (tanpa pengeluaran darah) ataupun basah (dengan mengeluarkan darah) merupakan salah satu kaedah rawatan yang telah lama diamalkan bagi mengubati pelbagai jenis penyakit. Dalam masyarakat melayu, amalan bekam basah kerap digunakan sebagai salah satu cabang perubatan. Bekam tradisional biasanya menggunakan tanduk, cawan kaca atau buluh sebagai salah satu medium untuk menghasilkan tekanan pada ‘point’ yang dikehendaki.

Proses bekam adalah dengan mengeluarkan darah kotor (toksin) dengan menggunakan prosedur tusukan jarum halus keatas lapisan kulit (epidermis) pada ‘point’ yang tertentu. ‘Point’ ini dipilih berdasarkan kepada penilaian doktor dan pengamal bekam terhadap symptom-simptom yang diberikan oleh pesakit. Proses ini dilakukan selama 5-10 minit. Pengeluaran darah ini dipercayai dapat membantu mempercepatkan penyembuhan penyakit yang dialami. Amalan bekam juga merupakan amalan sunnah. Pada masa sekarang, penggunaan cawan plastik bekam yang lebih hygenik datang dari China dan Korea digunakan bagi menggantikan alat bekam tradisional.

Mengikut teori terbaru bekam iaitu Taiba Teori, tekanan negatif pada kawasan bekam oleh cawan bekam akan menyebabkan akumulisasi cecair pada kapilari, limfatik dan kawasan sekitarnya. Ini akan menyebabkan dilusi bahan bahan keradangan yang terdapat disekitarnya . Apabila torehan dibuat dan mengaplikasikan tekanan negatif pada kawasan tersebut, cecair radang akan dikeluarkan dari kawasan keradangan dan dielakkan daripada dimasukkan semula kedalam kapillari. Keadaan ini mampu untuk meningkat imuniti dan pengeluaran kimia opiods oleh kulit akibat daripada kesan torehan dan tekanan tersebut. Selain itu, ia dapat meningkatkan aliran darah dan cecair limfa yang membolehkan bekam menyeimbangkan hemeostasis dalam badan.

Kaunseling Herba

Penggunaan herba di unit ketika ini adalah terhad. Penggunaan herba di klinik perubatan integratif adalah berasaskan kepada penyelidikan yang disandarkan kepada amalan penggunaan herba secara tradisional dikalangan masyarakat melayu. Klinik juga menggunakan herba herba yang terpilih daripada penyelidikan dikalangan penyelidik USM sendiri. Seperti contoh penggunaan herba pecah beling untuk penyakit pembengkakan prostat dan ekstrak misai kucing dalam merawat tekanan darah tinggi. Dengan penyelidikan yang berterusan tentang herba-herba ini, diharap penggunaannya akan lebih meluas di klinik perubatan integratif di masa akan datang.

Carta Organisasi