IPPT dan PPUSMB Anjurkan Acara Fun Run Sempena Program Kesedaran Kanser Payudara & Pink October 2023

BERTAM, PULAU PINANG, 14 Oktober 2023 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) berganding bahu menganjurkan acara FUN RUN bersempena Program Kesedaran Kanser Payudara & Pink October 2023.
Program Fun Run disertai seramai 700 penyertaan menjangkaui sasaran awal pihak penganjur iaitu 300 penyertaan dengan mengambilkira pelbagai program seumpamanya yang dianjurkan oleh pelbagai pihak pada bulan Oktober ini.
Lebih membanggakan adalah acara ini mendapat sambutan penyertaan daripada 20 orang peserta berkerusi roda dari kumpulan Utara Hebat yang merupakan bekas pesakit Spinal Cord Injury (SCI) yang datang dari sekitar negeri Pulau Pinang dan Kedah bersama penjaga mereka untuk turut menyertai acara Fun Run sebagai tanda sokongan terhadap Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2023 yang dianjurkan oleh IPPT dan PPUSMB ini.
Acara larian sejauh 3 kilometer ini bukan sahaja mendapat sambutan warga USM dan masyarakat sekitar Bertam dan Pulau Pinang, malah turut disertai oleh peserta yang datang sejauh dari Kulim, Pokok Sena, Alor Setar, Taiping, Kuala Kangsar dan juga Ipoh.
YM Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin, Pengarah IPPT dan PPUSMB meluangkan masa menyantuni 20 orang peserta berkerusi roda bersama penjaga dan para peserta serta melawat tapak aktiviti.
Tunku Kamarul Zaman dalam ucapannya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang menyertai acara Pink October 2023.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur Breast Cancer Translational Research Program IPPT dan Pusat Perubatan USM Bertam yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya yang telah mengambil inisiatif mengadakan program ini sempena sambutan Kanser Payudara yang disambut pada bulan Oktober di seluruh dunia.
Tunku Kamarul Zaman dalam ucapannya turut menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan penaja iaitu Kerajaan Negeri Pulau Pinang, MSM Malaysia Holdings Berhad, Canon Medical, Majlis Kanser Nasional (MAKNA), USAINS Holding Sdn. Bhd., Codon Genomics, Kedai Emas Khalipah Bertam Sdn. Bhd., Nictron Group of Companies, Bertam Properties Sdn. Bhd., Intech Scientific Sdn. Bhd., Aiskrim Hafizly, Qlasco Toys, Samsonice Communication, Medical Physics Services Sdn. Bhd. (MPS), Ahli Parlimen Kepala Batas, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan juga orang perseorangan yang telah menyokong dan menyumbang dalam pelbagai bentuk tajaan untuk menjayakan acara Pink October 2023 pada hari ini.
Mengakhiri ucapan beliau, Tunku Kamarul Zaman berharap semua yang hadir pada hari ini mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang telah disediakan oleh pihak pengajur pada hari ini seperti senam sihat aerodance, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan mammogram oleh MAKNA, pertandingan melukis dan mewarna, pameran kesihatan, dan forum kesihatan sambil beriadah bersama keluarga.
Teks oleh: Naziroh Shafii
Foto oleh: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia