Pusat Sumber Penyakit Buah Pinggang Kronik atau Chronic Kidney Disease Resource Centre (CKDRC) telah memulakan perkhidmatan sejak bulan Jun 2022. Perkhidmatan CKDRC di Pusat Perubatan USM Bertam adalah sebagai pusat sehenti (one stop centre) bagi pencegahan dan perawatan penyakit buah pinggang kronik secara bersepadu dan sistematik. CKDRC merupakan pusat sumber penyakit buah pinggang kronik yang kedua yang ditubuhkan di Universiti Sains Malaysia, di mana CKDRC HUSM di Kampus Kesihatan telah mula beroperasi sejak tahun 2011. Kedua-dua pusat sumber ini telah menjalinkan kerjasama dalam pelbagai aktiviti untuk mencapai objektif yang sama. Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah klinik pakar nefrologi, ultrasound vaskular, penilaian berat kering pesakit buah pinggang kronik, pembedahan arteriovenous fistula, kaunseling secara berkumpulan (melibatkan unit dietetik dan farmasi), kursus dan juga aktiviti penyelidikan.