Skip to main content

PROGRAM MENANAM 1 JUTA POKOK DI PULAU PINANG SEMPENA HARI BUMI PERINGKAT USM 2024

BERTAM, 22 April 2024 - Pihak Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang melancarkan projek tanam sejuta pokok bersempena dengan sambutan Hari Bumi yang disambut di seluruh Malaysia. Justeru, bagi menyokong dan menzahirkan komitmen dalam perkara ini, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB), Kepala Batas, Pulau Pinang turut serta menjayakan Program menanam satu (1) Juta Pokok Serentak di Pulau Pinang peringkat USM hari ini.

Program ini berlangsung di Perkarangan PPUSMB seawal jam 8:30 pagi yang diketuai oleh Pihak Pengurusan Tertinggi PPUSMB, YBrs. Prof. Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim selaku Timbalan Pengarah (Klinikal & Piawaian) Pusat Perubatan USM Bertam.

Program menanam pokok secara besar-besaran yang berlangsung serentak di seluruh Pulau Pinang hari ini bertujuan untuk menggalakkan rakyat Pulau Pinang menyumbang kepada kehijauan alam sekitar di negeri ini serta melengkapkan inisiatif kerajaan negeri dalam mencapai sasarannya iaitu melaksanakan matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), selaras dengan SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan).

Dalam usaha untuk mencegah pemanasan global, Program Menanam 1 Juta Pokok ini secara tidak langsung dapat menggalakkan setiap lapisan masyarakat, sektor kerajaan, badan korporat, dan sukarelawan turut mengambil bahagian dalam program ini sekaligus mampu memupuk semangat cintakan alam semula jadi melalui penanaman pelbagai jenis pokok serta menyokong komitmen kerajaan dalam mengekalkan litupan kawasan hijau terutamanya di Pulau Pinang.

Kemuncak kepada Program ini adalah semasa proses penanaman satu juta pokok dijalankan bersama dengan Ketua Pengurusan Tertinggi PPUSMB dan IPPT di mana jenis pokok yang ditanam di sini ialah jenis pokok Kelat Paya (Syzygium Campanulatum) iaitu sebanyak 1000 anak pokok dan dihadiri dengan seramai 50 staf yang terlibat.

Anak-anak pokok ini ditanam di beberapa lokasi di PPUSMB seperti di kawasan lapang berhadapan bangunan PPUSMB serta penanaman anak pokok ini turut ditanam di kawasan depan berhampiran lobi Kompleks Penyelidikan Haiwan.

Turut hadir bersama adalah Encik Shahrulnizam Mohamad Nor;Arkitek, Encik Yusmadi Norashid; Ketua Pegawai Tadbir, Encik Md Hisham Abd Razak; Ketua Unit Farmasi, Dr. Fitreena Anis Amran; Pakar Perubatan dan Dr. Ying Chee Keat; Pensyarah Universiti.

Teks: Nur Aqilah Binti Tajul Ashikin
Teks Disunting oleh: Nur Hasmiza Binti Mahadzir
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia